Followers

Sunday, March 4, 2018


GADIS itu membelainya, memeluknya dan menggodanya. Dia masih seperti sebelum tragedi itu, cuma kali ini seluruh dirinya adalah milik Danial. Seluruh jiwa yang ada dalam dirinya adalah kepunyaan Danial dan dia hidup bergantung kepada cinta Danial.
“Kenapa lambat sangat Reena datang, abang dah lama tunggu, dah naik gila tau.”
“Reena dah datang ni, Dan janganlah marah-marah.”
“Dan tak marah, tapi rindu. Rindu separuh nyawa.” Danial menjawab bersungguh-sungguh. Gadis itu tersenyum, dan senyuman itu terlalu manis untuk di sia-siakan.
Hanim menguak selimutnya. Dia terdengar-dengar suara aneh dari bilik anaknya. Dadanya berdebar. Dan ini bukanlah kali pertama hal ini terjadi. Sejak Danial kembali pulih dari kemurungannya dan sejak sikapnya kembali ceria, Danial semakin kerap berkurung di dalam biliknya.
Perlahan-lahan Hanim cuba mengintip bilk anaknya. Dia menggeleng-geleng apabila hanya kegelapan sahaja yang menyelubungi bilik anaknya itu. Dia melekapkan telingan ke pintu bilik. Senyap... 
Dengan rasa serba salah, dia memegang tombol pintu. Namun akhirnya dia tidak jadi memulas tombol itu. Sebaliknya, Hanim kembali ke biliknya. Suasana terasa semakin sepi.
Tiba-tiba Hanim menyentuh pucuk hidungnya. Hidungnya kembang-kempis menghidu bau itu.
“Uhh, bangkai apa pulak ni. Ada kucing mati ke dekat-dekat sini?” Soalnya sendiri. Akhirnya Hanim menghela nafas panjang. Esok sahajalah dia mencari bangkai kucing itu. Selepas ditanam, hilanglah baunya.
Hanim kembali memejamkan matanya. Sayup-sayup kedengaran unggas berbunyi dari arah hutan yang tidak jauh dari rumahnya.
SUARA desahan itu benar-benar mencurigakannya. Wanita itu semakin tidak keruan kerana bimbang anak lelakinya mungkin berkelakuan songsang. Bukan sekali, bukan juga dua kali. Malah setiap kali waktu bulan penuh pasti bunyi-bunyi aneh itu kedengaran.
Hanim semakin hilang sabar. Bila diintai, bilik Danial gelap. Tapi menjelang dinihari pasti ada bunyi-bunyi aneh kedengaran kembali.
“Danial, bukak pintu ni nak. Danial tak tidur lagikan, mak tahu Danial belum tidur.” Sudah beberapa kali pintu bilik itu diketuk. Namun tidak ada jawapan.
“Danial!” Hanim mula hilang sabar. Namun Danial tetap tidak memberikan jawapan.
“DANIAL!” Pekik Hanim. Sepi juga. 
“Ini kena panggil abang Li kau, baru kau tahu!” Ugut Hanim. Sejak akhir-akhir ini, Danial memang sering mengelak untuk bertemu dengan Adli. Malah andainya Adli datang, cepat-cepat pula Danial menghilangkan diri ke mana-mana.
Wanita itu merapatkan telinganya ke pintu bilik, namun hanya kesunyian, langsung tidak kedengaran sebarang bunyi . Wanita itu kembali ke biliknya dengan rasa hampa.
Semakin hari, kecurigaannya semakin menebal, perlahan-lahan dia merebahkan tubuhnya kembali.
“Takkan aku silap dengar?” Dia mempersoalkan dirinya sendiri. Dia tidak mahu menuduh yang bukan-bukan, tapi...
Kelentang! Wanita itu hampir melompat dari katilnya. Dia benar-benar terkejut. Bunyi periuk jatuh di atas simen benar-benar membuatkan jantungnya hampir meletup.
“Ni mesti kerja kucing Pak Akob ni, bela kucing tapi tak pernah bagi makan.” Hanim merungut sendiri. Hanim menggaru-garu lehernya.
‘Tapi Pak Akob baru saja meninggal beberapa hari lepas.’ Desis hatinya. Tiba-tiba Hanim rasa meremang. Terpisat-pisat dia bangun lalu keluar dari bilik untuk ke dapur. Hidupnya kembang kempis tercium bau busuk.
Suis di ruang tamu ditekan untuk menyalakan lampu. Belum pun sempat lampu kalimantang itu menyala...
Tup! Suis ditutup kembali.
“Mak tak payah pasang lampu mak, Danial tak suka terang.” Suara Danial terasa begitu hampir dengannya. Seolah-lah Danial sedang berbisik ke telinganya. Hanim terdiam sejenak.
“Kamu ni dah kenapa Danial? Takkan kau nak suruh mak meraba dalam gelap ni!” Jari Hanim terus juga menekan butang suis. Tiba-tiba dia terasa sesuatu yang amat sejuk memegang dan menarik tangannya dengan kuat. Tangan yang terlalu dingin itu seolah-olah masih basah.
“Danial tak nak terang mak!” Suara itu kedengaran agak keras.”
“Kau jangan nak arah-arah mak Danial! Ini mak tahu, bukan anak tiri kau!” Hanim membiarkan tangannya dipegang. Hatinya sedikit panas bila Danial bersikap kurang ajar.
“Danial kat sini mak, kenapa?” Serta merta tangan Hanim dilepaskan. Jantung wanita itu tiba-tiba berdegup kencang, nafasnya jadi sesak.
Tup! Tiba-tiba keadaan terang benderang. Danial sendiri yang memasang lampu.
“Bukan tadi Danial tak bagi mak pasang lampu ke?.”
“Mana ada!” Danial menafikannya sambil mengurut-urut bahunya. 
“Kenapa mak?” Danial mengerutkan dahi. Wanita itu tegun memandang anaknya yang berambut kusut masai.
“Betul Danial tak halang mak nak pasang lampu tadi?” Wanita itu minta kepastian. Danial mengeleng lantas berjalan agak perlahan ke dapur. 
Danial meneguk ais sejuk dengan rakus. Berkali-kali wanita itu menelan liur, debar dadanya menyesakkan nafas. 
“Kau tak sihat ke Danial?” Soal Hanim. Danial kelihatan bagaikan sedang menanggung sesuatu yang berat di bahunya. 
“Orang ok je mak. Cuma bahu dan belikat ni rasa sengal dan lenguh.” Danial mengelus-elus lagi bahunya. Hanim mengaangguk-angguk lalu kembali ke bilik tidurnya. Dia tidak sanggup menyangka yang bukan-bukan tentang anaknya itu.

No comments:

Post a Comment